Connect with us

Terkini

Ibu Rayu Anak Autisme Dikembalikan, Dakwa Dilarikan Bekas Suami

Published

on

Ibu Rayu Anak Autisme Dikembalikan, Dakwa Dilarikan Bekas Suami Sejak 27 Ogos

JOHOR BAHRU – Seorang wanita bernama Husnul merayu agar anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan menghidap autisme dikembalikan selepas didakwa dilarikan oleh bekas suami sejak 27 Ogos lalu.

Menerusi satu video yang dimuat naik di platform TikTok, Husnul meluahkan kegusaran dan keperitan yang ditanggung sejak kehilangan anak kesayangannya hampir dua minggu lalu.

“Tujuan saya buat video ini adalah untuk mendapatkan semula anak saya yang mempunyai masalah autisme dan telah dilarikan oleh ayahnya.
Sebelum saya memuat naik video ini, saya sudah pun melalui saluran yang betul iaitu proses mahkamah,” jelasnya dalam video yang kini tular di media sosial.

Perintah Mahkamah: Ibu Mempunyai Hak Jagaan Interim

Menurut Husnul, mahkamah telah memberikan hak jagaan interim kepadanya, manakala bekas suami hanya mempunyai hak lawatan.

“Perintah mahkamah menetapkan saya sebagai penjaga utama ketika ini. Namun, sehingga kini anak saya masih belum dipulangkan,” katanya dengan nada sayu.

Tambahnya lagi, beliau telah membuat beberapa laporan polis di Johor dan Cheras selain menghubungi hospital dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun semua usaha setakat ini menemui jalan buntu.

“Saya sudah cuba hubungi banyak pihak termasuk hospital dan JKM. Tapi anak saya tetap tidak dipulangkan.”

“Bukan Kali Pertama Dilarikan”

Husnul turut mendakwa insiden melarikan anak ini bukan kali pertama berlaku. Malah, katanya, ia sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu, dengan pelbagai tuduhan dilemparkan oleh bekas suaminya terhadap dirinya.

“Tahun pertama dia buat tuduhan penganiayaan. Tahun kedua dan ketiga, dia menuduh berlaku penderaan. Sedangkan, kesan luka pada anak bukan akibat dera.
Kali ini pula, dia menyamar sebagai pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai untuk cuba tukar sekolah anak kami.”

Namun menurutnya, pihak sekolah yang cakna terhadap status penjagaan anak berjaya menggagalkan cubaan berkenaan.

Rayu Bantuan Orang Ramai

Dalam video yang sama, Husnul merayu orang ramai agar membantu menjejaki anaknya. Dia mendakwa bekas suaminya dilihat menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna kelabu.

“Bantulah saya. Kalau ternampak lelaki ini (sambil menunjukkan gambar bekas suami), dia menaiki Hilux kelabu bersama anak saya, tolong hubungi saya.
Nasihatkan dia bahawa keputusan dan tindakan itu salah. Fikirkan kebajikan anak. Tolong pulangkan anak saya.”

Video tersebut menerima ratusan komen daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib ibu berkenaan serta mendoakan agar anaknya segera ditemui dalam keadaan selamat.


Nota: Kes ini kini dalam perhatian pihak berkuasa. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan kanak-kanak tersebut atau individu yang disebutkan boleh menyalurkan maklumat terus kepada balai polis berhampiran atau menghubungi nombor kecemasan 999.

VIDEO PENUH:

@cunul95

Mohon bantuan! Anak sy telah dilarikan oleh ayahnya Adi Fahmi (0133555282) memandu Hilux kelabu WTB5612 sejak 27 Ogos. Dia seorang narcissistic yg berulang kali melarikan anak dari Johor ke KL hingga anak terabai sekolah. Dia kerap buat report palsu & sanggup biarkan anak berjam-jam di hospital, tapi JKM sahkan tiada unsur penderaan , hanya fitnah utk jatuhkan sy sbg ibu. Hak jagaan interim sah di mahkamah adalah milik sy, bapa hanya ada hak lawatan. Jika ternampak anak sy bersama lelaki ini, mohon segera hubungi sy di 01164104125. Mohon bantuan semua, terima kasih.

♬ original sound – husnul ali

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

[VIDEO] Pernah Digelar ‘Wan Penakut’ Ketika PLKN, Kini Jadi Abang Bomba Yang Selamatkan Nyawa Orang Ramai

Published

on

[VIDEO] Pernah Digelar ‘Wan Penakut’ Ketika PLKN, Kini Jadi Abang Bomba Yang Selamatkan Nyawa Orang Ramai

[VIDEO] Pernah Digelar ‘Wan Penakut’ Ketika PLKN, Kini Jadi Abang Bomba Yang Selamatkan Nyawa Orang Ramai

PETALING JAYA – Siapa sangka seorang remaja yang pernah menjadi bahan jenaka di media sosial akhirnya membuktikan bahawa ketakutan bukanlah penghalang untuk menjadi seorang wira.

Ramai pasti masih mengingati video tular seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kelihatan begitu takut ketika menjalani latihan ‘abseiling’. Gelagatnya yang cemas sehingga sukar untuk turun ketika itu mengundang pelbagai reaksi, malah ada yang melabelkannya sebagai “pengecut” dan “lemah”.

Namun, takdir telah menulis kisah yang cukup berbeza.

Pemilik video tersebut, Che Ku Muhammad Rizzuwan Che Ku Mohsin, kini merupakan seorang anggota bomba yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah.

Menurut Rizzuwan, dia tidak menyangka video lama yang dirakam ketika menyertai PLKN Pagoh pada tahun 2013 kembali tular, lebih-lebih lagi ketika isu PLKN hangat diperkatakan.

“Sebelum ini video tersebut pernah tular pada tahun 2017 apabila Ketua Platun saya memuat naiknya di media sosial sempena hari lahir saya. Kali ini mungkin sebab isu PLKN sedang hangat,” katanya.

Apa yang lebih menyentuh hati, Rizzuwan mengakui pernah menerima kecaman hebat daripada orang ramai yang tidak mengetahui perjalanan hidupnya selepas itu.

“Masa video itu tular, saya memang dikecam teruk. Dipanggil lemah dan pengecut. Tetapi kebanyakan yang mengutuk tak tahu saya sebenarnya sudah menjadi anggota bomba.

“Bila ramai tahu, pandangan mereka berubah. Daripada bahan jenaka bertukar menjadi rasa hormat kerana daripada seorang yang takut, kini menjadi seorang yang berani,” ujarnya.

Jejaka berusia 28 tahun itu berkata, dia kini sering dikenali orang ramai, terutama ketika mengendalikan ceramah dan taklimat keselamatan kebakaran di hospital serta pelbagai organisasi.

Mengimbau kembali detik video tersebut dirakam, anak kelahiran Johor Bahru itu mengakui pengalaman pertama menjalani latihan abseiling benar-benar menguji dirinya.

“Saya memang teruja pada mulanya. Tetapi bila sampai di atas, perasaan itu terus berubah. Saya mengaku memang terlalu takut. Tambahan pula saya tak sedar cikgu sedang merakam video.

“Saya hanya tahu mengenai rakaman itu pada malam terakhir PLKN ketika tayangan montaj. Memang malu sangat masa itu,” katanya sambil ketawa.

Walaupun pernah dihantui ketakutan terhadap ketinggian, minatnya terhadap bidang penyelamatan tidak pernah pudar. Rizzuwan mengakui sejak kecil lagi dia bercita-cita untuk menjadi anggota bomba.

Katanya, selepas menyertai pasukan bomba, dia menyedari bahawa latihan yang dilalui jauh lebih mencabar berbanding ketika PLKN.

“Saya memang minat bomba. Bila dah masuk, baru saya tahu latihan di sini lagi susah dan mencabar daripada PLKN.

“Banyak perkara saya belajar tentang operasi menyelamat. Dulu bangunan lima tingkat pun saya dah takut. Sekarang latihan di bangunan tujuh atau lapan tingkat sudah menjadi perkara biasa,” katanya.

Kisah Rizzuwan menjadi bukti bahawa seseorang tidak seharusnya dihakimi berdasarkan satu detik kelemahan dalam hidup mereka. Apa yang lebih penting ialah keberanian untuk bangkit dan memperbaiki diri.

Daripada seorang remaja yang pernah digelar “Wan Penakut”, kini beliau bergelar anggota bomba yang mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan orang lain.

Netizen pula rata-rata menyifatkan kisah ini sebagai satu inspirasi bahawa keberanian bukan bermaksud tidak pernah takut, tetapi mampu mengatasi ketakutan demi melakukan perkara yang betul.

Apa pendapat anda? Pernahkah anda menyangka ‘Wan Penakut’ PLKN ini akhirnya menjadi seorang abang bomba yang disegani? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen.

Sumber: Kosmo! Online

Video :

Continue Reading

Terkini

“Baru Terima Keputusan SPM, Remaja 18 Tahun Hilang Hampir 2 Minggu. Keluarga Bimbang Jadi Mangsa Sindiket”

Published

on

“Baru Terima Keputusan SPM, Remaja 18 Tahun Hilang Hampir 2 Minggu. Keluarga Bimbang Jadi Mangsa Sindiket”

JOHOR BAHRU: Sebuah keluarga kini hidup dalam kebimbangan selepas anak perempuan mereka yang berusia 18 tahun dilaporkan hilang hampir dua minggu dan sehingga kini masih gagal dikesan. Lebih membimbangkan, ahli keluarga percaya remaja itu mungkin telah dipengaruhi teman lelakinya sebelum menghilangkan diri.

Menurut laporan, remaja tersebut baru sahaja menerima keputusan SPM dan sedang mencari pekerjaan sebelum disedari meninggalkan rumah keluarganya di Johor Bahru pada 26 Mei lalu tanpa pengetahuan sesiapa.

Photo via China Press

Ibunya mendakwa perubahan sikap anaknya mula kelihatan selepas mengenali seorang lelaki berusia 22 tahun. Remaja itu dikatakan semakin berahsia dan enggan berkongsi maklumat mengenai hubungan mereka apabila ditanya oleh ahli keluarga.

Kebimbangan keluarga sebenarnya sudah bermula sejak tahun lalu apabila seorang jiran mendakwa pernah melihat remaja itu keluar bersama seorang lelaki pada waktu malam. Namun ketika ditanya, dia memaklumkan hanya keluar bersama rakan-rakan.

Keadaan menjadi lebih serius pada Disember tahun lalu apabila remaja itu didakwa pernah meninggalkan rumah bersama teman lelakinya sebelum berjaya dipujuk pulang oleh ahli keluarga selepas laporan polis dibuat.

Photo via China Press

Namun pada pagi 26 Mei, ibunya mendapati bilik anaknya kosong dan percaya dia keluar dari rumah ketika semua ahli keluarga sedang tidur. Sejak itu, telefon bimbitnya dimatikan dan segala usaha untuk menghubunginya menemui jalan buntu.

Apa yang lebih merisaukan, keluarga menemui beberapa mesej yang menunjukkan remaja tersebut didakwa dipujuk oleh teman lelakinya untuk meminjam wang sebanyak RM500. Perkara itu menimbulkan syak wasangka bahawa dia mungkin telah menjadi mangsa eksploitasi atau sindiket pemerdagangan manusia.

Seorang pemimpin masyarakat yang turut membantu keluarga berkata kehilangan remaja itu perlu disiasat dengan lebih mendalam dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya. Pada masa sama, beliau merayu agar remaja tersebut menghubungi keluarganya sekiranya melihat laporan berita berkenaan.

Keluarga remaja itu kini hanya mengharapkan satu perkara – agar anak mereka pulang dengan selamat atau sekurang-kurangnya memberi khabar bahawa dirinya berada dalam keadaan baik.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan remaja tersebut diminta menghubungi ahli keluarga atau pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Continue Reading

Pendidikan

“Dulu Pemandu Lori Sampah, Tiada Kereta & Hanya Naik Motosikal, Kini Kisah Arwah Prof Datuk Ir Dr Badaruddin Buat Ramai Sebak”

Published

on

“Dulu Pemandu Lori Sampah, Tiada Kereta & Hanya Naik Motosikal, Kini Kisah Arwah Prof Datuk Ir Dr Badaruddin Buat Ramai Sebak”

KUALA LUMPUR: Setiap ibu bapa pasti mengimpikan kehidupan yang lebih baik buat anak-anak. Ada yang sanggup berlapar, bekerja siang malam dan berkorban apa sahaja demi memastikan zuriat mereka mendapat pendidikan terbaik.

Begitulah kisah menyentuh hati yang dikongsikan mengenai Allahyarham Profesor Datuk Ir. Dr. Badaruddin Nordin, seorang tokoh akademik dan korporat yang membuktikan bahawa pendidikan mampu mengubah nasib sebuah keluarga.

Menurut perkongsian anaknya di media sosial, kehidupan arwah suatu ketika dahulu bukanlah seperti yang disangka ramai.

“Arwah abah, dulu driver lori sampah. Hidup susah dengan mak, tak ada kereta. Anak dua orang, masih naik motosikal sahaja ke mana-mana.”

Namun, kesusahan hidup tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menimba ilmu dan mengubah masa depan keluarga.

Berjaya Sambung Belajar Ke United Kingdom

Dengan tekad yang kuat, Allahyarham berjaya menyambung pengajian ke United Kingdom selama tiga tahun. Kepulangannya ke tanah air membuka lembaran baharu apabila ilmu dan kepakaran yang dimiliki berjaya memberi sumbangan besar dalam bidang kejuruteraan, pendidikan serta pembangunan industri.

Malah, idea dan kepakaran yang disalurkan kepada beberapa syarikat turut membantu perkembangan perniagaan mereka sehingga Allahyarham menerima bayaran royalti yang mencecah ratusan ribu ringgit.

Menurut perkongsian tersebut, ada syarikat yang memberi royalti sehingga RM200,000, RM400,000 dan RM800,000 sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau.

Pangkat dan Harta Bukan Keutamaan

Apa yang lebih mengagumkan, hasil titik peluh yang diperoleh tidak dihabiskan untuk kemewahan semata-mata.

Sebaliknya, hampir 90 peratus daripada pendapatan tersebut dilaburkan untuk pendidikan anak-anak.

Anaknya turut berkongsi bahawa Allahyarham membelanjakan kira-kira RM2 juta untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik, termasuk peluang melanjutkan pengajian ke luar negara.

Pengorbanan itu akhirnya membuahkan hasil yang cukup membanggakan.

Antara kejayaan anak-anak yang dikongsikan ialah:

  • Anak sulung berjaya mengembangkan perniagaan sehingga ke pasaran Amerika Syarikat.
  • Seorang lagi anak menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD dalam bidang kejuruteraan.
  • Ada yang menjadi usahawan muda berjaya.
  • Malah anak-anak lain turut menceburi dunia perniagaan dan mengembangkan empayar masing-masing.

Ramai Tampil Berkongsi Kebaikan Arwah

Menjengah ke ruangan komen, ramai individu tampil berkongsi pengalaman dan jasa baik Allahyarham sepanjang hayatnya.

Seorang pengguna media sosial mendakwa Allahyarham pernah membantu bapanya mendapatkan maklumat mengenai permohonan pembiayaan pengajian MARA sehingga meringankan beban keluarganya.

Ada juga yang menyifatkan kisah Allahyarham sebagai bukti bahawa pendidikan merupakan aset paling berharga yang boleh diwariskan kepada anak-anak.

“Pelajaranlah tunjang utama dalam sesuatu perkara untuk kita menuju kejayaan,” tulis seorang netizen.

Pendidikan Adalah Legasi Terbaik

Kisah Allahyarham Profesor Datuk Ir. Dr. Badaruddin Nordin membuktikan bahawa kejayaan tidak datang dalam sekelip mata.

Daripada seorang pemandu lori sampah yang hidup serba sederhana, beliau bangkit melalui pendidikan sehingga bergelar profesor, tokoh korporat dan individu yang berjaya membina legasi untuk generasi seterusnya.

Lebih daripada pangkat dan kekayaan, pengajaran terbesar yang ditinggalkan adalah bahawa ilmu merupakan pelaburan terbaik untuk masa depan keluarga.

Pepatah Melayu ada menyebut, “Jika mahu melihat masa depan sesebuah bangsa, lihatlah bagaimana mereka menghargai ilmu.”

Dan kisah Allahyarham seolah-olah membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar tiket untuk berjaya, tetapi mampu mengubah nasib sebuah keluarga dari satu generasi ke generasi yang lain.

sumber :  thread

Continue Reading

Trending

Copyright © 2017 Zox News Theme. Theme by MVP Themes, powered by WordPress.