Connect with us

Terkini

Guru Mengaji Dipenjara 9 Tahun, Tiga Sebatan Kerana Amang Seksual Tiga Murid Lelaki di Masjid

Published

on

Guru Mengaji Dipenjara 9 Tahun, Tiga Sebatan Kerana Amang Seksual Tiga Murid Lelaki di Masjid

Seorang guru mengaji al-Quran berusia 64 tahun menangis di hadapan hakim sambil merayu hukuman diringankan — namun mahkamah tetap menjatuhkan hukuman berat atas kesalahan yang dilakukannya selama dua tahun terhadap tiga kanak-kanak yang mempercayainya.

PASIR MAS — Hanafi Hassan, 64 tahun, dihukum penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Hakim Zulkpli Abdullah di mahkamah Pasir Mas selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan amang seksual fizikal terhadap tiga anak murid lelakinya yang berusia antara 9 hingga 11 tahun.

Kejadian berlaku antara 2023 hingga 2025, di tandas, bilik mandi dan stor di dua buah masjid serta sebuah stor kedai gunting rambut di Kusial Bharu, Tanah Merah — tempat-tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat bagi kanak-kanak.

🔎 Butiran Pertuduhan

  • Pertuduhan 1–4: Seorang mangsa berusia 9 tahun 4 bulan — kejadian bermula Mei 2023 hingga Oktober 2024
  • Pertuduhan 5–7: Mangsa kedua berusia 9 tahun 11 bulan — tiga kejadian sepanjang September–Oktober 2024
  • Pertuduhan 8–9: Mangsa ketiga berusia 11 tahun 2 bulan — November dan Disember 2024
  • Semua pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 — hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan.

Taktik Pengaruh dan Ugutan

Pendakwa raya, Siti Aiysha Na’ilah, mendedahkan bahawa tertuduh menggunakan pelbagai cara untuk menundukkan mangsa-mangsa yang masih kanak-kanak. Selain membawa mereka keluar, Hanafi turut membelikan pengecas telefon, kad sim dan kasut sebagai “gula-gula” untuk menarik perhatian mereka.

“Tertuduh juga mengugut tidak mahu lagi mengajar mengaji sekiranya mangsa enggan menurut kehendaknya.”

— Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah

Ugutan ini sangat berkesan kerana mangsa-mangsa menganggap Hanafi sebagai guru yang perlu dipatuhi — seorang individu yang dihormati dan dipercayai oleh ibu bapa mereka untuk mendidik agama anak-anak mereka.

Rayuan Tertuduh Ditolak

Tertuduh menangis di hadapan hakim dan merayu hukuman diringankan atas alasan usianya yang lanjut serta tanggungjawabnya sebagai penanggung tunggal keluarga yang mempunyai seorang anak kurang upaya berusia 27 tahun.

 

“Assalamualaikum tuan, pak cik mohon tuan ringankan hukuman pak cik seringan-ringannya memandangkan pak cik sudah tua… pak cik menyesal di atas perbuatan terkutuk ini.”

— Hanafi Hassan, tertuduh

Hakim Zulkpli Abdullah menolak rayuan itu dan menjatuhkan hukuman yang berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 1 Mei lalu. Selain penjara dan sebatan, hakim turut mengeluarkan perintah kaunseling pemulihan sepanjang tempoh penjara, serta pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat hukuman.

“Mangsa masih terlalu muda dan tertuduh pula guru mengaji mereka — sudah tentu dihormat dan dipercayai — namun lelaki ini sebaliknya mengambil kesempatan dengan melakukan amang seksual terhadap mangsa secara berulang kali.”

— Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah

Pendakwa raya turut menegaskan bahawa hukuman berat ini penting sebagai mesej jelas kepada masyarakat bahawa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak adalah jenayah serius yang tidak harus terus menjadi “barah” dalam komuniti.

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini

[VIDEO] Pernah Digelar ‘Wan Penakut’ Ketika PLKN, Kini Jadi Abang Bomba Yang Selamatkan Nyawa Orang Ramai

Published

on

[VIDEO] Pernah Digelar ‘Wan Penakut’ Ketika PLKN, Kini Jadi Abang Bomba Yang Selamatkan Nyawa Orang Ramai

[VIDEO] Pernah Digelar ‘Wan Penakut’ Ketika PLKN, Kini Jadi Abang Bomba Yang Selamatkan Nyawa Orang Ramai

PETALING JAYA – Siapa sangka seorang remaja yang pernah menjadi bahan jenaka di media sosial akhirnya membuktikan bahawa ketakutan bukanlah penghalang untuk menjadi seorang wira.

Ramai pasti masih mengingati video tular seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kelihatan begitu takut ketika menjalani latihan ‘abseiling’. Gelagatnya yang cemas sehingga sukar untuk turun ketika itu mengundang pelbagai reaksi, malah ada yang melabelkannya sebagai “pengecut” dan “lemah”.

Namun, takdir telah menulis kisah yang cukup berbeza.

Pemilik video tersebut, Che Ku Muhammad Rizzuwan Che Ku Mohsin, kini merupakan seorang anggota bomba yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah.

Menurut Rizzuwan, dia tidak menyangka video lama yang dirakam ketika menyertai PLKN Pagoh pada tahun 2013 kembali tular, lebih-lebih lagi ketika isu PLKN hangat diperkatakan.

“Sebelum ini video tersebut pernah tular pada tahun 2017 apabila Ketua Platun saya memuat naiknya di media sosial sempena hari lahir saya. Kali ini mungkin sebab isu PLKN sedang hangat,” katanya.

Apa yang lebih menyentuh hati, Rizzuwan mengakui pernah menerima kecaman hebat daripada orang ramai yang tidak mengetahui perjalanan hidupnya selepas itu.

“Masa video itu tular, saya memang dikecam teruk. Dipanggil lemah dan pengecut. Tetapi kebanyakan yang mengutuk tak tahu saya sebenarnya sudah menjadi anggota bomba.

“Bila ramai tahu, pandangan mereka berubah. Daripada bahan jenaka bertukar menjadi rasa hormat kerana daripada seorang yang takut, kini menjadi seorang yang berani,” ujarnya.

Jejaka berusia 28 tahun itu berkata, dia kini sering dikenali orang ramai, terutama ketika mengendalikan ceramah dan taklimat keselamatan kebakaran di hospital serta pelbagai organisasi.

Mengimbau kembali detik video tersebut dirakam, anak kelahiran Johor Bahru itu mengakui pengalaman pertama menjalani latihan abseiling benar-benar menguji dirinya.

“Saya memang teruja pada mulanya. Tetapi bila sampai di atas, perasaan itu terus berubah. Saya mengaku memang terlalu takut. Tambahan pula saya tak sedar cikgu sedang merakam video.

“Saya hanya tahu mengenai rakaman itu pada malam terakhir PLKN ketika tayangan montaj. Memang malu sangat masa itu,” katanya sambil ketawa.

Walaupun pernah dihantui ketakutan terhadap ketinggian, minatnya terhadap bidang penyelamatan tidak pernah pudar. Rizzuwan mengakui sejak kecil lagi dia bercita-cita untuk menjadi anggota bomba.

Katanya, selepas menyertai pasukan bomba, dia menyedari bahawa latihan yang dilalui jauh lebih mencabar berbanding ketika PLKN.

“Saya memang minat bomba. Bila dah masuk, baru saya tahu latihan di sini lagi susah dan mencabar daripada PLKN.

“Banyak perkara saya belajar tentang operasi menyelamat. Dulu bangunan lima tingkat pun saya dah takut. Sekarang latihan di bangunan tujuh atau lapan tingkat sudah menjadi perkara biasa,” katanya.

Kisah Rizzuwan menjadi bukti bahawa seseorang tidak seharusnya dihakimi berdasarkan satu detik kelemahan dalam hidup mereka. Apa yang lebih penting ialah keberanian untuk bangkit dan memperbaiki diri.

Daripada seorang remaja yang pernah digelar “Wan Penakut”, kini beliau bergelar anggota bomba yang mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan orang lain.

Netizen pula rata-rata menyifatkan kisah ini sebagai satu inspirasi bahawa keberanian bukan bermaksud tidak pernah takut, tetapi mampu mengatasi ketakutan demi melakukan perkara yang betul.

Apa pendapat anda? Pernahkah anda menyangka ‘Wan Penakut’ PLKN ini akhirnya menjadi seorang abang bomba yang disegani? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen.

Sumber: Kosmo! Online

Video :

Continue Reading

Terkini

“Baru Terima Keputusan SPM, Remaja 18 Tahun Hilang Hampir 2 Minggu. Keluarga Bimbang Jadi Mangsa Sindiket”

Published

on

“Baru Terima Keputusan SPM, Remaja 18 Tahun Hilang Hampir 2 Minggu. Keluarga Bimbang Jadi Mangsa Sindiket”

JOHOR BAHRU: Sebuah keluarga kini hidup dalam kebimbangan selepas anak perempuan mereka yang berusia 18 tahun dilaporkan hilang hampir dua minggu dan sehingga kini masih gagal dikesan. Lebih membimbangkan, ahli keluarga percaya remaja itu mungkin telah dipengaruhi teman lelakinya sebelum menghilangkan diri.

Menurut laporan, remaja tersebut baru sahaja menerima keputusan SPM dan sedang mencari pekerjaan sebelum disedari meninggalkan rumah keluarganya di Johor Bahru pada 26 Mei lalu tanpa pengetahuan sesiapa.

Photo via China Press

Ibunya mendakwa perubahan sikap anaknya mula kelihatan selepas mengenali seorang lelaki berusia 22 tahun. Remaja itu dikatakan semakin berahsia dan enggan berkongsi maklumat mengenai hubungan mereka apabila ditanya oleh ahli keluarga.

Kebimbangan keluarga sebenarnya sudah bermula sejak tahun lalu apabila seorang jiran mendakwa pernah melihat remaja itu keluar bersama seorang lelaki pada waktu malam. Namun ketika ditanya, dia memaklumkan hanya keluar bersama rakan-rakan.

Keadaan menjadi lebih serius pada Disember tahun lalu apabila remaja itu didakwa pernah meninggalkan rumah bersama teman lelakinya sebelum berjaya dipujuk pulang oleh ahli keluarga selepas laporan polis dibuat.

Photo via China Press

Namun pada pagi 26 Mei, ibunya mendapati bilik anaknya kosong dan percaya dia keluar dari rumah ketika semua ahli keluarga sedang tidur. Sejak itu, telefon bimbitnya dimatikan dan segala usaha untuk menghubunginya menemui jalan buntu.

Apa yang lebih merisaukan, keluarga menemui beberapa mesej yang menunjukkan remaja tersebut didakwa dipujuk oleh teman lelakinya untuk meminjam wang sebanyak RM500. Perkara itu menimbulkan syak wasangka bahawa dia mungkin telah menjadi mangsa eksploitasi atau sindiket pemerdagangan manusia.

Seorang pemimpin masyarakat yang turut membantu keluarga berkata kehilangan remaja itu perlu disiasat dengan lebih mendalam dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya. Pada masa sama, beliau merayu agar remaja tersebut menghubungi keluarganya sekiranya melihat laporan berita berkenaan.

Keluarga remaja itu kini hanya mengharapkan satu perkara – agar anak mereka pulang dengan selamat atau sekurang-kurangnya memberi khabar bahawa dirinya berada dalam keadaan baik.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan remaja tersebut diminta menghubungi ahli keluarga atau pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Continue Reading

Pendidikan

“Dulu Pemandu Lori Sampah, Tiada Kereta & Hanya Naik Motosikal, Kini Kisah Arwah Prof Datuk Ir Dr Badaruddin Buat Ramai Sebak”

Published

on

“Dulu Pemandu Lori Sampah, Tiada Kereta & Hanya Naik Motosikal, Kini Kisah Arwah Prof Datuk Ir Dr Badaruddin Buat Ramai Sebak”

KUALA LUMPUR: Setiap ibu bapa pasti mengimpikan kehidupan yang lebih baik buat anak-anak. Ada yang sanggup berlapar, bekerja siang malam dan berkorban apa sahaja demi memastikan zuriat mereka mendapat pendidikan terbaik.

Begitulah kisah menyentuh hati yang dikongsikan mengenai Allahyarham Profesor Datuk Ir. Dr. Badaruddin Nordin, seorang tokoh akademik dan korporat yang membuktikan bahawa pendidikan mampu mengubah nasib sebuah keluarga.

Menurut perkongsian anaknya di media sosial, kehidupan arwah suatu ketika dahulu bukanlah seperti yang disangka ramai.

“Arwah abah, dulu driver lori sampah. Hidup susah dengan mak, tak ada kereta. Anak dua orang, masih naik motosikal sahaja ke mana-mana.”

Namun, kesusahan hidup tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menimba ilmu dan mengubah masa depan keluarga.

Berjaya Sambung Belajar Ke United Kingdom

Dengan tekad yang kuat, Allahyarham berjaya menyambung pengajian ke United Kingdom selama tiga tahun. Kepulangannya ke tanah air membuka lembaran baharu apabila ilmu dan kepakaran yang dimiliki berjaya memberi sumbangan besar dalam bidang kejuruteraan, pendidikan serta pembangunan industri.

Malah, idea dan kepakaran yang disalurkan kepada beberapa syarikat turut membantu perkembangan perniagaan mereka sehingga Allahyarham menerima bayaran royalti yang mencecah ratusan ribu ringgit.

Menurut perkongsian tersebut, ada syarikat yang memberi royalti sehingga RM200,000, RM400,000 dan RM800,000 sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau.

Pangkat dan Harta Bukan Keutamaan

Apa yang lebih mengagumkan, hasil titik peluh yang diperoleh tidak dihabiskan untuk kemewahan semata-mata.

Sebaliknya, hampir 90 peratus daripada pendapatan tersebut dilaburkan untuk pendidikan anak-anak.

Anaknya turut berkongsi bahawa Allahyarham membelanjakan kira-kira RM2 juta untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik, termasuk peluang melanjutkan pengajian ke luar negara.

Pengorbanan itu akhirnya membuahkan hasil yang cukup membanggakan.

Antara kejayaan anak-anak yang dikongsikan ialah:

  • Anak sulung berjaya mengembangkan perniagaan sehingga ke pasaran Amerika Syarikat.
  • Seorang lagi anak menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD dalam bidang kejuruteraan.
  • Ada yang menjadi usahawan muda berjaya.
  • Malah anak-anak lain turut menceburi dunia perniagaan dan mengembangkan empayar masing-masing.

Ramai Tampil Berkongsi Kebaikan Arwah

Menjengah ke ruangan komen, ramai individu tampil berkongsi pengalaman dan jasa baik Allahyarham sepanjang hayatnya.

Seorang pengguna media sosial mendakwa Allahyarham pernah membantu bapanya mendapatkan maklumat mengenai permohonan pembiayaan pengajian MARA sehingga meringankan beban keluarganya.

Ada juga yang menyifatkan kisah Allahyarham sebagai bukti bahawa pendidikan merupakan aset paling berharga yang boleh diwariskan kepada anak-anak.

“Pelajaranlah tunjang utama dalam sesuatu perkara untuk kita menuju kejayaan,” tulis seorang netizen.

Pendidikan Adalah Legasi Terbaik

Kisah Allahyarham Profesor Datuk Ir. Dr. Badaruddin Nordin membuktikan bahawa kejayaan tidak datang dalam sekelip mata.

Daripada seorang pemandu lori sampah yang hidup serba sederhana, beliau bangkit melalui pendidikan sehingga bergelar profesor, tokoh korporat dan individu yang berjaya membina legasi untuk generasi seterusnya.

Lebih daripada pangkat dan kekayaan, pengajaran terbesar yang ditinggalkan adalah bahawa ilmu merupakan pelaburan terbaik untuk masa depan keluarga.

Pepatah Melayu ada menyebut, “Jika mahu melihat masa depan sesebuah bangsa, lihatlah bagaimana mereka menghargai ilmu.”

Dan kisah Allahyarham seolah-olah membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar tiket untuk berjaya, tetapi mampu mengubah nasib sebuah keluarga dari satu generasi ke generasi yang lain.

sumber :  thread

Continue Reading

Trending

Copyright © 2017 Zox News Theme. Theme by MVP Themes, powered by WordPress.