Mowgli Malaysia Kini Alumni GIATMARA, Urus Bengkel Motosikal Keluarga
KUALA TERENGGANU – Masihkah anda ingat remaja lelaki Syukor Khamis, yang pernah mencuri perhatian ramai sebagai “Mowgli Malaysia” menerusi foto ikoniknya bersama kawanan kerbau? Hari ini, Syukor sekali lagi menarik perhatian – kali ini dengan pencapaiannya dalam bidang kemahiran.
Terbaharu, Syukor telah menamatkan pengajian dalam kursus Teknologi Motosikal di GIATMARA Hulu Terengganu, sekali gus bergelar alumni GIATMARA.
Perkara itu dikongsikan menerusi laman rasmi Facebook GIATMARA Malaysia, yang turut memaparkan gambar Syukor dalam majlis graduasi institusi latihan tersebut.
6 Bulan Kursus, Kini Bantu Urus Bengkel Keluarga
Kursus Teknologi Motosikal yang diikuti Syukor berlangsung selama enam bulan dan menumpukan kepada kemahiran praktikal berkaitan penyelenggaraan, pembaikan, dan diagnostik motosikal.
Difahamkan, selepas tamat kursus, Syukor kini menguruskan bengkel motosikal milik keluarganya, sekali gus mengaplikasikan ilmu yang dipelajarinya secara langsung dalam bidang pekerjaan sebenar.
Ikon TVET & Inspirasi Anak Muda
Perjalanan Syukor ini wajar dijadikan inspirasi, khususnya buat golongan belia yang ingin menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kisahnya menunjukkan bahawa kejayaan bukan hanya melalui laluan akademik semata-mata, tetapi juga boleh dikecapi melalui bidang kemahiran dan keusahawanan.
“Semoga kejayaan Syukor ini menjadi motivasi kepada lebih ramai anak muda untuk menyertai bidang kemahiran dan TVET,” tulis pihak GIATMARA Malaysia di media sosial.
Sumber: Facebook GIATMARA Malaysia